Nukilan TG Ust Wan Asrul al-Aydrus:
Mutaakhir, kita melihat banyak gambar atau secara nyata, wanita Islam (Muslimah) menggayakan pelbagai cara untuk menutup aurat. Namun, dalam kesibukan tersebut, selain dari hal mempamerkan bentuk tubuh, satu lagi aurat yang dipandang remeh adalah LENGAN. Mereka mengenakan tudung, tapi memakai T-Shirt lengan pendek, bahkan ada juga yang mengenakan sarung lengan yang ketat disamping pemakaian T-Shirt lengan pendek tersebut dengan anggapan mereka, mereka telah menutup aurat mereka sebaiknya.
Sang faqir berbaik sangka, bahawa mereka tidak tahu, malahan di dalam ruangan FB ini juga banyak yang memuat turun gambar dengan menampakkan bahagian lengan mereka. Mungkin hal ini ramai yang terlepas pandang, oleh kerana itu, sebelum sang faqir menamatkan akaun FB ini, sang faqir merasakan sepatutnya hal ini perlu diketahui jelas oleh sekalian khasnya Muslimah.
Perlu kita jelas, khususnya kaum Muslimah sekalian, antara syarat menutup aurat bagi wanita ialah menutup dengan suatu yang menghalang dari nampak tubuh badan dan pakaian tersebut dengan WAJIBNYA tidak ketat sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh badannya. Maka, jika seorang wanita memakai baju lengan pendek dan memakai sarung lengan sampai ke pergelangan tangannya maka hukumnya masih dikira tidak menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'. Hal ini adalah kerana bentuk aurat yakni tangannya masih kelihatan melainkan sarung lengan yang dipakai itu longgar dalam erti kata lain tidak kelihatan bentuk lengannya.
Berlainan halnya, jika wanita tersebut memakai baju lengan panjang seperti baju kurung, jubah atau t-shirt muslimah (berlengan panjang dan longgar) dan memakai sarung lengan besertanya maka apabila wanita tersebut mengangkat tangannya kerana ingin mengambil barang yang tinggi contohnya dan kelihatan lengannya yang memakai sarung itu, maka hukumnya dimaafkan pada pandangan syara'.
Kerana pada asasnya, dia telah menutup auratnya secara yang dikehendaki syara', dan perbuatan mengambil barang yang tinggi sehingga terpamer sarung lengannya, diletakkan (ihtimal) pada sebab ternampaknya sarung lengannya itu kerana mengambil barang, bukan kerana sengaja menunjukkan sarung lengannya, begitu juga dengan wanita yang memakai baju atau jubah berlengan panjang dan longgar tanpa memakai sarung lengan, ianya dimaafkan syara' jika ternampak akan lengan mereka jika perbuatan tersebut secara tidak sengaja, kerana mereka telah menutup aurat secara mengikut syara' pada asasnya.
Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi (lelaki asing) adalah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Ini adalah melibatkan pandangan jumhur Ulama'.
Pun begitu, bab keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.
Cuma sang faqir agak hairan dengan dakwaan seorang sahabat mencemuh muslimat yang tidak memakai sarung tangan (hand glove) semasa keluar rumah, sambil menunjukkan ke arah isterinya yang memakai sarung tangan.
Perlu kita faham dengan halnya sarung tangan, ianya mencantikkan aurat terutamanya dalam suasana yang akan menimbulkan fitnah, tetapi bukan wajib aurat, samalah juga halnya dengan purdah (veil). Oleh sebab itu, adalah tidak baik mencemuh tanpa memeriksa dan meneliti hukum terlebih dahulu.
Perlu kita fahami, pandangan jumhur ini merangkumi mazhab Hanafi dan Maliki dan salah satu qaul dari Imam Syafi’ie. Ada Ulama' (Imam Ahmad dan qaul yang asas dari Imam Syafi’ie) berpandangan bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat tanpa kecuali. Mengikut pandangan ini, wanita wajib menutup keseluruhan tubuhnya termasuk muka dan tangan. Bahkan, menurut pandangan ini, pemakaian niqab adalah wajib.
Dalam bab aurat wanita ini, pandangan yang paling luas ialah Imam Abu Hanifah di mana menurut beliau, kaki bukan sebahagian dari aurat. (Menurut Imam Abu Yusuf iaitu murid Imam Abu Hanifah, lengan juga tidak aurat).
Jadi, jika dikumpulkan pendapat yang kuat dan sarih, keseluruhan tubuh wanita adalah aurat dan wajib ditutup kecuali tiga bahagian iaitu; muka, tangan(tapak tangan sehingga ke pergelangan tangan) dan kaki. (Tafsir surah an-Nur, halaman 151).
Beza Muslim dengan Kafir adalah ketaatannya pada Perintah ALLAH.
Sama-sama kita nilaikan diri sendiri semoga kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang kafir, sama ada kafir i'tiqod atau kafir Nikmat. NauzubILLAHi Min Zalik.
ALLAHu 'Alam. Wassalam."